Ahad, 13 Februari 2011

SALAH TANGGAPAN JIHAD EKONOMI

Akhir-akhir ini kita sering mendengar dimedia masa tentang pentingnya untuk melakukan jihad ekonomi di kalangan umat Islam. Ini demi mengukuhkan status penguasaan Islam terhadap kepentingan ekonomi di dalam negara. Umumnya mengetahui Rancangan Tijarah terbitan TV1 kerap mengundang pelbagai tokoh korporat Islamik setiap kali penyiarannya untuk menyebarkan fahaman tentang pentingnya penguasan umat Islam terhadap sesebuah ekonomi.

Pada pendapat saya, perkara tersebut sangat elok demi menyuntik semangat keusahawanan di kalangan umat Islam. Cuma, terdapat sedikit kekeliruan yang saya rasa menganggah pemahaman saya selama ini tentang istilah 'Jihad Ekonomi'.

Bagi saya jihad ekonomi itu bukanlah bermaksud membuat pecahan atas sepotong kek. yang mana umat Islam dituntut berjihad untuk membanyakkan bahagiannya serta diseru supaya bersungguh-sungguh mengumpul kekayaan daripada dimonopoli oleh orang non muslim. Sesiapa yang berjaya dan mampu melaksanakannya dilihat sebagai tokoh yang dikagumi dalam masyarakat. Tidak, ini amat tidak bertepatan dengan Jihad Ekonomi.

Islam itu sebenarnya rahmat kepada seluruh alam termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Seluruh umat manusia mendapat manfaat daripada kehadiran Islam. Rasulullah SAW sendiri dinyatakan dalam al-Quran sebagai pembawa rahmat kepada umat manusia. Tidak pernah dinyatakan didalam sejarah bahawa Rasulullah  meminta supaya umat Islam membanyakkan harta berbanding dengan harta orang kafir quraisy. Adapun satu ayat dalam al-Quran meminta supaya umat islam bersedia dengan sedaya upaya untuk meningkatkan kekuatan tidak berkaitan dengan konteks yang dibincangkan ini.

Jihad Ekonomi itu sebenarnya adalah dakwah dalam konteks ekonomi terhadap sistem ekonomi yang pelbagai jenis seperti kapitalis, komunis, sosialis dan pelbagai lagi sistem ekonomi yang ada di dalam dunia ini dan tidak saya ketahui. Ekonomi Islam membawa mesej dakwah dengan meninggalkan segala keburukan dan penindasan dalam ekonomi. Jihad ekonomi mengajak seluruh umat manusia supaya meninggalkan riba, gharar,  dan penipuan. Inilah sebenarnya yang dibawa oleh jihad ekonomi tanpa mengehadkannya kepada umat islam sahaja. Pelbagai bangsa boleh menjadi pengamal kepada Ekonomi Islam ini. Pemahaman inilah yang cuba saya utarakan dan saya menafikan bahawa Jihad ekonomi itu semata-mata membanyakkan kekayaan kepada umat Islam sahaja.

Berdasarkan pemahaman ini, jelaslah bahawa:
  •  menolak unsur riba dalam perbankan adalah lebih utama  daripada menggunakan kekayaaan daripada sumber riba untuk projek-projek kemasyarakatan.
  • tidak perlu ada dasar yang menyekat sesuatu kaum untuk memperolehi kekayaan, sebaliknya lorongkanlah kepada mereka jalan yang mematuhi syariat untuk mereka membina kekayaan. 
  • perlu tanamkan di dalam jiwa umat Islam supaya membenci unsur-unsur yang tidak sihat dalam ekonomi demi keredhaan Allah  bukanlah hanya menggalakkan mereka menambahkan harta semata-mata.
  • ekonomi Islam adalah dakwah dan bukan pengancam. Sesiapa sahaja bebas mengumpul dan memiliki harta.
  • Ekonomi Islam bukan sahaja menjaga hak umat Islam sahaja malah manusia keseluruhannya dari segala penindasan dan ketidak adilan.