Memaparkan catatan dengan label AL-QURAN MENDEPANI ZAMAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AL-QURAN MENDEPANI ZAMAN. Papar semua catatan

Selasa, 6 Mac 2012

NETSHARING VS NETWORKING

Netsharing adalah jaringan rawak dalam kaedah pembinaan rangkaian. Ia adalah suatu kaedah pemasaran baru  masa hadapan. Di bawah adalah perbezaan antara networking dan netsharing;

  • Networking: pembinaan rangkaian berdasarkan aliran. Netsharing: pembinaan rangkaian secara rawak
  • Networking: mempunyai level atau generasi tertentu. Netsharing: tiada awalan dan akhiran (pemasaran tidak tepu)
  • carta: 

Sabtu, 8 Oktober 2011

Jangan Kata Hudud Primitif

Walau sehebat mana teknologi manusia, sesekali datang bencana, akan hancur dan musnah penempatan mereka. Teknologi yang mereka banggakan itu sama sekali tidak dapat menghalang lumrah alam citaan tuhan ini. Sedarlah wahai manusia, kita hanya satu makhluk kecil sahaja di bumi. Umpama semut yang melata di tanah, bila-bila masa sahaja boleh dipijak. Bila-bila masa sahaja kita akan dijemput ke alam baru. Jangan sesekali meninggi diri, angkuh dengan ilmu yang dimiliki. Itu hanya sekelumit sahaja dari ilmu-ilmu Allah yang maha luas. Kamu bangga dengan ilmumu yang hanya diabad 1900 menemui bahawa alam semester ini berasal daripada letupan big-bang sedangkan al-quran telah menyatakannya 1400 yang lalu. Janganlah bermegah dengan teori-teori sains yang baru penghujung abad 1800 menemui sesuatu, sedangkan al-Quran telah lama menyatakannya. Janganlah mendabik dada dengan sistem kewangan berasaskan riba yang dikatakan mampu melonjak pendapatan sesuatu negara apabila dilanda satu sahaja cubaan, sudah jatuh tersungkur umpama tumbangnya bangunan WTC. Buktinya krisis kewangan amerika syarikat yang melingkupkan banyak syarikat besar dunia serta krisis matawang tahun 1998.

Disini, saya ingin membuka paradigma baru atau sekadar berkongsi apa yang terbuku dihati tentang permasalahan yang sangat hebat dipermainkan oleh media sejak akhir-akhir ini iaitu hudud. Bunyinya sahaja sudah menggentarkan hati yang mendengarnya. Ternyata, mereka yang masih ada ragu dihati mereka cipta berbagai-bagai alasan untuk menolak pelaksanaannya. Di mulut, mereka mengangguk tanda setuju, namun dalam hati, masih menyimpan keraguan tentangnya. Janganlah begitu, kerana al-quran yang diturunkan ini kalis masa dan tempat.

Merujuk kepada hukuman kepada pencuri, Allah memerintahkan agar dipotong tangan sipencuri tersebut. Jelas dan tepat. Namun tidak mensyaratkan azab. Berbeza dengan hukuman kepada penzina, Allah mensyaratkan azab. Pencuri mengambil harta orang lain, maka Allah memerintahkan diambil tangannya dengan cara memotongnya. Jadi, sesuai dengan fiqh semasa hukuman ini boleh dicadangkan agar dibuat dengan cara kaedah moden seperti pembedahan dihospital. Pakar bedah  hospital memotong tangan sipencuri dengan spesifik dan terancang sesuai dengan hukuman yang ditetapkan oleh hakim terhadap pencuri. Itulah balasan kehilangan tangan, sama seperti orang yang kehilangan harta tersebut.

Berbeza dengan kesalahan zina, pelakunya dikenakan azab berupa sebatan. Syaratnya, azab sakit itu ditonton oleh sebilangan masyarakat Islam. Dalam hal ini, fiqh semasa boleh mencadangkan agar teknologi penyiaran digunakan sebagai medium penyaksian terhadap azab tersebut. TV dan live stream boleh dijadikan perantara penyaksian yang mana hukuman itu dijalankan disesuatu tempat yang bukannya ditempat awam secara terbuka. Tentang perihal individu itu bukanlah persoalannya, tetapi memfokuskan kepada hukuman sebat yang lebih utama.

Seperti yang kita maklumi, hudud adalah termasuk dalam cabang yang terdedah kepada ijtihad. Sama seperti muamalat dalam urusan jual beli. al-Quran telah mensyaratkan adanya unsur redha-meredhai semasa berjual beli. Asas inilah yang memfleksiblekan urusniaga tersebut daripada sistem barter, kepada menggunakan emas, mengguna pakai wang kertas sebagai alat urusniaga dan kini internet sebagai medium dengan hanya memindahkan sahaja keakaun penjual. Asas redha meredhai dan saling perlu memerlukan menjadi sahnya urusniaga tersebut sepertimana yang digariskan al-Quran. Ternyata , al-Quran telah mendahului masa dalam hal ini.

Ternyata, apa yang terkandung dalam al-Quran itu sememangnya sesuai digunakan sepanjang zaman dari dulu, kini dan akhir masa. Yakinlah dengan rukun iman ketiga ini sebagaimana Abu Bakar meyakini dan membenarkan isra' dan mikraj Nabi SAW dikala masyarakat sudah ugah tentangnya. Ingatlah.. kita ini hamba-Nya.

Sabtu, 24 September 2011

Zakat Kalis Masa Dan Ruang


ZAKAT SUATU SISTEM EKONOMI TERUNGGUL


Zakat ialah suatu perintah unik dari Allah. Arahan Allah ini mengkehendakkan supaya setiap hambanya mengeluarkan belanja dari poket sendiri  kepada golongan yang tertentu. Uniknya perintah ini adalah kerana bukan melibatkan amal ibadat berbentuk perlakuan, tetapi melibatkan harta yang dimiliki. Tentu ada sesuatu hikmah yang tersembunyi disebalik keunikannya.

Zakat berbeza dengan sedekah walaupun nampak sama. Zakat ialah suatu kewajipan sedangkan sedekah adalah suatu yang digalakkan. Harta yang wajib dizakatkan sudah ditentukan haul dan nisabnya sedangkan pada sedekah, ianya tidak ditentukan dan terpulang kepada diri masing-masing.  Begitu juga pada majlisnya, zakat perlu ditunjuk-tunjuk dan diwar-warkan melalui penggunaan resit sebagai rujukan berzakat, perlu dihebahkan kepada umum serta diketahui media. Berbeza dengan sedekah, ‘tangan kanan menghulurkan , tangan kiri pun tidak mengetahuinya’. Ini adalah suatu perumpamaan untuk menunjukkan bahawa sedekah itu wajar dibuat dalam suasana sulit dan senyap. Jelaslah di sini perbezaan ketara antara zakat dan sedekah walaupun konsepnya sama iaitu mengeluarkan harta.

Apabila seseorang mengeluarkan zakat, berlaku satu transisi pemilikan. Sesuatu barangan atau nilaian akan berubah tangan pemiliknya.  Daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Setiap saat dan masa yang berlalu, akan ada sesuatu transisi zakat yang dilakukan. Ini kerana zakat berbeza antara iindividu ke individu lain mengikut haul dan nisab masing-masing. Maksudnya, pada setiap saat dan minit, akan ada orang mengeluarkan zakat. Akan ada pengaliran pemilikan. Akan ada aktiviti ekonomi. Apabila berlakunya pengaliran pemilikan menunjukkan adanya aktiviti ekonomi.   Aktiviti ekonomi sangat berkait dengan pengaliran wang menurut teori ekonomi  konvensional. Sedangkan, pada hakikat sebenarnya, perubahan pemilikan sebenarnya yang menjadi penggerak kepada ekonomi.  Wang atau duit hanya alat dalam perubahan pemilikan. Oleh sebab itu, dalam Islam, zakat tidak mensyaratkan duit, tetapi  ‘ain’ barang itu sendiri.  Zakat telah mendahului teori ekonomi konvensional dalam hal ini.  Pensyariatan zakat ini berlaku tanpa terikat kepada suasana sekeliling, sama ada waktu peperangan, darurat, bencana, malapetaka, kemarau panjang, banjir, hatta semasa waktu berkempen pilihanraya. Kitarannya tidak boleh dihentikan oleh sesuatu masa dan ruang.

Rahsia Allah dalam rukun Islam yang ketiga ini amat sukar difahami dengan pemikiran biasa. Ia memerlukan kepada usaha daripada pelbagai kepakaran dan sumber untuk mencungkilnya. Apa yang saya nampak ialah motifnya untuk menjadikan masyarakat kelas pertengahan sebagai peneraju dalam sesebuah ketamadunan. Dalam sesebuah negara, terdapat tiga kelompok utama, iatu, kelas pertama, kelas pertengahan dan kelas bawah. Semakin besar kelompok kelas pertengahan, semakin stabil dan utuh sesebuah ketamadunan. Ambil contoh dunia pada hari ini, negara-negara maju seperti  Amerika, mempunyai jurang yang amat besar antara golongan atasan dan golongan bawahan.  Begitu juga dengan negara mundur, mempunyai jurang yang amat besar antara golongan atasan dan bawahan.  Situasi ini amat tidak bagus dan bila-bila masa sahaja boleh mengundang malapetaka ekonomi kepada negara tersebut.  Negara yang stabil dan mantap ialah negara yang mana jurang golongan atasan dan bawahan adalah sifar. 100% adalah golongan kelas menengah. Ini sangatlah mustahil untuk dicapai dalam suasana biasa. Tetapi dengan ibadat zakat, menjadikannya realiti dalam pengamalan hidup bernegara.

Ruh zakat mengkehendakkan sesuatu kekayaan itu tidak dilonggokkan atau dimonopolikan oleh golongan tertentu. Setiap harta wajib diagihkan untuk kebaikan masyarakat keseluruhannya. Mungkin kita terbayangkan sistem ekonomi sosialis apabila merujuk konsep ini. Sebenarnya zakat amat berlainan sekali dengan sistem ekonomi sosialis. Antaranya, zakat hanya mewajibkan peratusan yang sama untuk setiap individu bergantung kepada kekayaan masing-masing  bukan menyamaratakan semua orang pada tahap kekayaan yang sama. Maksudnya, setiap individu berpeluang mencapai tahap kekayaan yang mereka inginkan tanpa menyekatnya, dengan syarat  mereka mestilah membayar zakat hasil daripada kekayaan tersebut. Istimewanya kaedah ini ialah, setiap orang akan berlumba-lumba mencari kekayaan dan sebahagian kekayaan itu menjadi penyuntik kepada kelompongan kelas bawahan. Tanpa disedari, masyarakat tersebut telah bergerak selangkah demi selangkah menuju kemajuan material dengan begitu gah sekali penuh kestabilan dan tanpa boleh digugat dengan kemelesetan. 

Saya memberi analogi sebegini, ada beberapa anak tangga untuk didaki. Bermula pada anak tangga yang paling bawah. Pada tahap ini, zakat golongan kelas A membantu kelas C untuk mencapai kedudukan kelas B. Pada masa yang sama, semua diberi peluang menambah kekayaan masing-masing. Maka, kekayaan pun bertambah. Masyarakat ini telah mendaki satu lagi anak tangga. Pada anak tangga pertama ini, sistem zakat masih lagi digunakan. Pada anak tangga pertama ini juga, masyarakat semakin kaya berbanding dengan tangga sebelumnya. Zakat lebih banyak dikeluarkan untuk membantu kelas C. Secara tidak langsung, golongan kelas C semakin berkurang. Hak untuk mencari kekayaan masih terbuka luas.  Kelas menengah semakin bertambah. Tanpa disedari, masyarakat tersebut telah mendaki anak tangga kedua. Sistem yang sama masih lagi diamalkan. Golongan kelas menengah kian ramai. Golongan kelas A dan C semakin berkurang.  Anak tangga demi anak tangga didaki sehingga pada satu tahap, masyarakat ini mempunyai 100% golongan kelas menengah dan sifar kelas A dan C.  Namun jangan keliru, kelas menengah yang ada pada masyarakat ini adalah jauh lebih kaya daripada golongan kelas A pada anak tangga paling bawah. Sistem zakat ini  terus diamalkan dan masyarakat kelas menengah tersebut terus mendaki tangga demi tangga tanpa ada penghujungnya. Sesuatu yang amat perfect dalam ekonomi tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Inilah kehebatan zakat. Sistem ciptaan yang maha Agung. Allah yang maha esa.   

Khamis, 15 September 2011

AL-QURAN MENDAHULUI ZAMAN: TEORI LAMPU DAN CAHAYA


- Salam kepada semua.
- Saya meneliti surah al-Nur ayat ayat 35.
- Saya terbayangkan tentang mentol yang ada sekarang. Yang mana sumber kuasanya adalah daripada tenaga elektrik sinonim dengan maksud "tidak timur dan tidak barat".
- tenaga elektrik tidak melalui cas positif dan cas negatif.
- Ini kerana tenaga elektrik dapat mengeluarkan cahaya sendiri tanpa disentuh oleh api. 
- Wayar elektrik (syajaratin zaitun) yang menghubungkan kuasanya danseterusnya menyalakan lampu tadi.
- Saya lampirkan satu picture yang menjelaskannya.
- Kepada Ilmuan Islam, harap beri respon terhadap penelitian saya ini.
- Semoga kita memperolehi hidayah daripada Nur al-Quran. Insyaallah.


Ahad, 14 November 2010

SAINS DIPANDU OLEH AL-QURAN

Saya terfikir ada baiknya sekiranya subjek sains yang sedang diajar di sekolah-sekolah pada masa ini dimasukkan ayat al-Quran sebagai asas teorinya. Contohnya pada tajuk sistem pembiakan manusia, pada pendahuluan tajuk tersebut ada petikan al-Quran disertakan dengan maksudnya sekali. Antara ayat yang boleh dimasukkan adalah yang berkisar tentang penciptaan manusia.

Begitu juga dengan tajuk-tajuk yang lain. Bahagian pendahuluan setiap tajuk disertakan dengan ayat-ayat al-Quran sebagai asas ilmu. Ini kerana setiap disiplin ilmu sains itu ada perkaitan dengan ayat-ayat al-Quran. Untuk dijadikan sebagai buku teks mungkin banyak pancarobanya. Walaubagaimanapun ia boleh dijadiakan sebagai alternatif kepada buku rujukan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Mungkin ini adalah baru. Setidak-tidaknya dapat menjadi medium dakwah dan perkembangan ilmu-ilmu islam. Apa yang jelas al-Quran adalah menyeluruh dan meliputi setiap aspek kehidupan manusia.