Ahad, 22 Ogos 2010

Usahawan Syurga

Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang tajuk yang saya gunakan untuk laman blog saya ini. Bunyinya “Usahawan syurga”. Penuh dengan pelbagai tafsiran bergantung kepada pemahaman tersendiri. Walaubagaimanapun, bagi saya, usahawan syurga adalah suatu tuntutan jiwa yang amat mendalam terhadap kepatuhan kepada tuhan. Suatu visi hidup yang tertinggi. Untuk mencapainya, perlu kepada usaha yang tekun, berterusan dan sepadu daripada sesiapa sahaja yang meningininya.

Biasanya seorang usahawan berwawasan untuk berjaya dalam perniagaan yang diceburinya, atau ingin menempa nama dan menjadi icon dalam sesuatu bidang serta sering disebut-sebut namanya oleh masyarakat. Mereka bangga dapat mencipta kejayaan dengan mempunyai empayar perniagaan dan gah dengan kemewahan hartabenda serta kedudukan yang tinggi berbanding yang lain.

Usahawan syurga tidak melihat semua itu sebagai ukurannya. Cuma sebagai jalan atau platform untuk mencapai kejayaannya yang sebenarnya. Kejayaan akhir adalah kenikmatan yang abadi di dalam suatu tempat yang tidak dapat dibayangkan dengan mata kasar. Itulah Syurga.

Izinkan saya berkongsi satu ayat al-Quran yang bemaksud “adakah mahu aku tunjukkan suatu perniagaan yang menyelamatkan kamu daripada azab api neraka. (iaitu) Kamu beriman dengan Allah dan RasulNya dan berjihad dijalanNya dengan harta dan jiwa kamu.”

Firman Allah lagi: “tidak sekali-kali dikira sesuatu perkara kebajikan sehinggalah kamu mendermakan apa yang kamu sayangi”

Sabtu, 21 Ogos 2010

Pesanan untukku

Tidakkah pernah engkau berikrar dahulu bahawa Allah itu tuhanmu. Bukankah engkau dihidupkan adalah hanya untuk beribadat kepadanya. Mudah sungguh engkau lupakan semuanya. Tatkala engkau susah, engkau tunduk sujud kepadaNya memohon agar diperkenankan doamu. Engkau berdoa dengan sepenuh hati. Cubalah engkau hitungkan manakah doamu yang tidak diperkenankannya. Setiap kali engkau meminta, Allah sentisa memperkenankannya. Kiralah dan hitunglah semuanya. Sesekali mungkin kita terlupa matlamat kita, sedikit tergelincir daripada landasan. Namun, kita amat mengharapkan agar sentiasa didalam pimpinan dan hidayahNya. Sesungguhnya dari jauh aku mendengar seruanMu kearah iman. Akan aku mengadapMu dan meluruskan jalan kearahMu. Aku sangat lemah dengan dugaan dunia dan amat mengharapkan 'Inayahmu selamanya.

Rabu, 18 Ogos 2010

bismillah pembuka bicara

Dengan nama Allah, tuhan yang maha mengetahui.
Saya memulakan kalam dengan memuji sang pencipta segala-galanya. Saya amat berbesar hati dan bersyukur kepadaNya kerana dapat memulakan satu langkah dalam menerokai kehebatan teknologi maklumat ini. Hari ini merupakan langkah awal saya untuk mengetahui selok-belok pembinaan laman blog yang amat luas dan tidak terbatas. Saya akan cuba memahami setiap butang-butang setting yang ada disediakan supaya saya dapat mempersembahkan suatu hasil yang lebih interaktif dan berkualiti lagi.
Salam perkenalan buat semua,
Tujuan saya membuka laman blog ini adalah untuk berkongsi maklumat dan idea di samping dapat bertukar-tukar fikiran dengan sesiapa sahaja dalam laman siber. Setiap pendapat dan buah fikiran dapat kita debat dan saringkan sehingga terhasil suatu ilmu yang dapat dimanfaatkan. Ilmu atau teori yang terhasil daripada cetusan rasa diblog ini boleh kita majukan dan kembangkan menjadi suatu bidang ilmu yang baru, seterusnya dibukukan menjadi rujukan pada masa akan datang.
Saya berharap semua idea, pendapat, luahan rasa, teori, pemikiran, kritikan dan cadangan dikemukakan dengan jujur dan spontan berdasarkan latarbelakang anda semua. Semoga apa yang kita lakukan mendapat rahmat daripadaNya. Sekian..