Rabu, 15 September 2010

SUMBANGAN CARA BARU: ALTERNATIF KEPADA SEMUA

Salam,
Apabila saya singgah solat di sebuah Masjid untuk solat zohor, ternampak kain rentang yang memohon sumbangan untuk menambah baik bangunan masjid. Ternyata bangunan masjid telah lama dan uzur. Mungkin sumbangan yang diperlukan adalah mencapai ratusan ribu ringgit. Diharapkan, Allah membukakan pintu hati orang yang ingin membersihkan hartanya ke arah Islam.
Saya terfikir ada baiknya Syarikat Korporat atau orang ramai memberi sumbangan kepada institusi masjid dengan kaedah yang saya cuba utarakan ini. Ini kerana faedahnya akan dirasai bukan sahaja kepada penerima tetapi juga pelbagai pihak termasuk pihak masjid, pihak penderma, penduduk setempat akan terkesan dengan pelaksanaannya. Kaedahnya begini; pihak yang berminat untuk memberi sumbangan kepada masjid perlu membuat lawatan mengejut pada mana-mana waktu solat ke masjid yang dingini. Jangan dimaklumi terlebih dahulu kepada pihak masjid atau orang ramai. Selepas selesai solat, maklumkan kepada pengurusan masjid bahawa ada sumbangan yang hendak disampaikan kepada jemaah yang hadir ke masjid. Sekiranya sumbangan tersebut banyak, boleh diagihkan kepada setiap jemaah yang hadir bersolat. Sebaliknya, sekiranya sumbangan tersebut sedikit, boleh dibuat cabutan bertuah atau memilih berdasarkan asnaf yang layak menerima sumbangan. Sudah tentu mereka yang hadir bersolat jemaah pada waktu tersebut bergembira dengan sumbangan yang diterima. Sumbangan begini perlu diperluas ke masjid-masjid lain mengikut kaedah yang sama.
Contohnya Syarikat Usahawan Syurga ingin menderma sebanyak RM2000. Wakil syarikat pergi ke sebuah masjid dan bersolat asar secara berjemaah di sana. Selepas selesai solat, imam memaklumkan kepada setiap orang yang hadir bersolat bahawa mereka akan menerima sumbangan daripada syarikat. Syarikat membahagikan RM100 seorang kepada 20 orang jemaah yang hadir bersolat. Pihak masjid mengeluarkan surat penerimaan derma kepada syarikat.
Dalam contoh di atas, wang tunai digunakan sebagai sumbangan. Dalam hal lain, pelbagai bentuk boleh dibuat sumbangan seperti barangan, perkhidmatan, baucer membeli belah, tiket pelancongan, bilik penginapan dan sebagainya.
Antara kebaikan sumbangan seperti ini adalah:
1. Menghidupkan aktiviti masjid.
2. Menggalakkan orang ramai menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid.
3. Mendekatkan hubungan silaturrahim sesama jemaah, ahli jemaah dengan pengurusan masjid
4. Mengeratkan hubungan antara pihak pederma dengan ahli kariah
5. Mempromosi Syarikat dan produk kepada penduduk setempat melalui masjid.
6. Menyuburkan rasa ukhwah islamiah