Sabtu, 24 September 2011

Zakat Kalis Masa Dan Ruang


ZAKAT SUATU SISTEM EKONOMI TERUNGGUL


Zakat ialah suatu perintah unik dari Allah. Arahan Allah ini mengkehendakkan supaya setiap hambanya mengeluarkan belanja dari poket sendiri  kepada golongan yang tertentu. Uniknya perintah ini adalah kerana bukan melibatkan amal ibadat berbentuk perlakuan, tetapi melibatkan harta yang dimiliki. Tentu ada sesuatu hikmah yang tersembunyi disebalik keunikannya.

Zakat berbeza dengan sedekah walaupun nampak sama. Zakat ialah suatu kewajipan sedangkan sedekah adalah suatu yang digalakkan. Harta yang wajib dizakatkan sudah ditentukan haul dan nisabnya sedangkan pada sedekah, ianya tidak ditentukan dan terpulang kepada diri masing-masing.  Begitu juga pada majlisnya, zakat perlu ditunjuk-tunjuk dan diwar-warkan melalui penggunaan resit sebagai rujukan berzakat, perlu dihebahkan kepada umum serta diketahui media. Berbeza dengan sedekah, ‘tangan kanan menghulurkan , tangan kiri pun tidak mengetahuinya’. Ini adalah suatu perumpamaan untuk menunjukkan bahawa sedekah itu wajar dibuat dalam suasana sulit dan senyap. Jelaslah di sini perbezaan ketara antara zakat dan sedekah walaupun konsepnya sama iaitu mengeluarkan harta.

Apabila seseorang mengeluarkan zakat, berlaku satu transisi pemilikan. Sesuatu barangan atau nilaian akan berubah tangan pemiliknya.  Daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Setiap saat dan masa yang berlalu, akan ada sesuatu transisi zakat yang dilakukan. Ini kerana zakat berbeza antara iindividu ke individu lain mengikut haul dan nisab masing-masing. Maksudnya, pada setiap saat dan minit, akan ada orang mengeluarkan zakat. Akan ada pengaliran pemilikan. Akan ada aktiviti ekonomi. Apabila berlakunya pengaliran pemilikan menunjukkan adanya aktiviti ekonomi.   Aktiviti ekonomi sangat berkait dengan pengaliran wang menurut teori ekonomi  konvensional. Sedangkan, pada hakikat sebenarnya, perubahan pemilikan sebenarnya yang menjadi penggerak kepada ekonomi.  Wang atau duit hanya alat dalam perubahan pemilikan. Oleh sebab itu, dalam Islam, zakat tidak mensyaratkan duit, tetapi  ‘ain’ barang itu sendiri.  Zakat telah mendahului teori ekonomi konvensional dalam hal ini.  Pensyariatan zakat ini berlaku tanpa terikat kepada suasana sekeliling, sama ada waktu peperangan, darurat, bencana, malapetaka, kemarau panjang, banjir, hatta semasa waktu berkempen pilihanraya. Kitarannya tidak boleh dihentikan oleh sesuatu masa dan ruang.

Rahsia Allah dalam rukun Islam yang ketiga ini amat sukar difahami dengan pemikiran biasa. Ia memerlukan kepada usaha daripada pelbagai kepakaran dan sumber untuk mencungkilnya. Apa yang saya nampak ialah motifnya untuk menjadikan masyarakat kelas pertengahan sebagai peneraju dalam sesebuah ketamadunan. Dalam sesebuah negara, terdapat tiga kelompok utama, iatu, kelas pertama, kelas pertengahan dan kelas bawah. Semakin besar kelompok kelas pertengahan, semakin stabil dan utuh sesebuah ketamadunan. Ambil contoh dunia pada hari ini, negara-negara maju seperti  Amerika, mempunyai jurang yang amat besar antara golongan atasan dan golongan bawahan.  Begitu juga dengan negara mundur, mempunyai jurang yang amat besar antara golongan atasan dan bawahan.  Situasi ini amat tidak bagus dan bila-bila masa sahaja boleh mengundang malapetaka ekonomi kepada negara tersebut.  Negara yang stabil dan mantap ialah negara yang mana jurang golongan atasan dan bawahan adalah sifar. 100% adalah golongan kelas menengah. Ini sangatlah mustahil untuk dicapai dalam suasana biasa. Tetapi dengan ibadat zakat, menjadikannya realiti dalam pengamalan hidup bernegara.

Ruh zakat mengkehendakkan sesuatu kekayaan itu tidak dilonggokkan atau dimonopolikan oleh golongan tertentu. Setiap harta wajib diagihkan untuk kebaikan masyarakat keseluruhannya. Mungkin kita terbayangkan sistem ekonomi sosialis apabila merujuk konsep ini. Sebenarnya zakat amat berlainan sekali dengan sistem ekonomi sosialis. Antaranya, zakat hanya mewajibkan peratusan yang sama untuk setiap individu bergantung kepada kekayaan masing-masing  bukan menyamaratakan semua orang pada tahap kekayaan yang sama. Maksudnya, setiap individu berpeluang mencapai tahap kekayaan yang mereka inginkan tanpa menyekatnya, dengan syarat  mereka mestilah membayar zakat hasil daripada kekayaan tersebut. Istimewanya kaedah ini ialah, setiap orang akan berlumba-lumba mencari kekayaan dan sebahagian kekayaan itu menjadi penyuntik kepada kelompongan kelas bawahan. Tanpa disedari, masyarakat tersebut telah bergerak selangkah demi selangkah menuju kemajuan material dengan begitu gah sekali penuh kestabilan dan tanpa boleh digugat dengan kemelesetan. 

Saya memberi analogi sebegini, ada beberapa anak tangga untuk didaki. Bermula pada anak tangga yang paling bawah. Pada tahap ini, zakat golongan kelas A membantu kelas C untuk mencapai kedudukan kelas B. Pada masa yang sama, semua diberi peluang menambah kekayaan masing-masing. Maka, kekayaan pun bertambah. Masyarakat ini telah mendaki satu lagi anak tangga. Pada anak tangga pertama ini, sistem zakat masih lagi digunakan. Pada anak tangga pertama ini juga, masyarakat semakin kaya berbanding dengan tangga sebelumnya. Zakat lebih banyak dikeluarkan untuk membantu kelas C. Secara tidak langsung, golongan kelas C semakin berkurang. Hak untuk mencari kekayaan masih terbuka luas.  Kelas menengah semakin bertambah. Tanpa disedari, masyarakat tersebut telah mendaki anak tangga kedua. Sistem yang sama masih lagi diamalkan. Golongan kelas menengah kian ramai. Golongan kelas A dan C semakin berkurang.  Anak tangga demi anak tangga didaki sehingga pada satu tahap, masyarakat ini mempunyai 100% golongan kelas menengah dan sifar kelas A dan C.  Namun jangan keliru, kelas menengah yang ada pada masyarakat ini adalah jauh lebih kaya daripada golongan kelas A pada anak tangga paling bawah. Sistem zakat ini  terus diamalkan dan masyarakat kelas menengah tersebut terus mendaki tangga demi tangga tanpa ada penghujungnya. Sesuatu yang amat perfect dalam ekonomi tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Inilah kehebatan zakat. Sistem ciptaan yang maha Agung. Allah yang maha esa.