Jumaat, 24 Disember 2010

PERKEMBANGAN DINAR DAN DIRHAM DALAM FASA 1

Perkembangan Dinar Kelantan pada pandangan saya amat lemah walaupun masih tidak terkeluar daripada Konsep Teori Perkembangan yang saya utarakan dahulu. Banyak premis perniagaan hanya memaparkan sahaja logo menerima dinar tetapi apabila ditanya berapa orang yang menggunakannya dalam transaksi, jawapannya tiada langsung. Pada masa saya pergi ke pasar Siti Khadijah, saya melihat suatu papan tanda harga harian dinar dan dirham yang tidak dikemaskini. Lebih sebulan harganya tidak dikemasini untuk rujukan peniaga. Saya rasa itu adalah petanda bahawa urusniaga dengan dinar dan dirham masih tidak mendapat sambutan daripada masyarakat.

Saya tidak rasa ini suatu kegagalan kerana urusniaga dengan D & D hanya akan berlaku diakhir fasa pertama. Itu pun masih meletakan nilai ringgit sebagai aras harganya. Telah saya nyatakan bahawa pada fasa ini galakan dan sokongan amat penting. Tidak kira sama ada daripada kerajaan atau swasta. Galakkan kepada semua rakyat supaya memiliki seberapa banyak kepingan D & D. Wujudkan kuasa pasaran D & D. Biar setiap satu keluarga memiliki paling kurang 1 dinar emas dan 3 keping dirham. Apabila keadaan ini berlaku barulah menampakan sedikit pergerakan dalam Fasa 1.

Walaupun begitu, secara puratanya galakan daripada kerajaan supaya rakyat menyimpan emas sedikit mempengaruhi rakyat. Dr. Mahadhir telah menyuarakannya dalam suatu laporan berita. Ini akan menyemarakkan lagi pemilikan dinar dalam masyarakat walaupun ada segelintir yang menyimpan emas dalam bentuk barang kemas. Seeloknya simpanlah emas dalam bentuk kepingan dinar untuk memudahkan urusniaga.

Cadangan saya, setiap orang Islam yang hendak mengeluarkan zakat supaya menukarkan wang zakat tersebut dengan D & D. Seterusnya berzakatlah secara terus kepada asnaf yang layak tanpa melalui mana-mana pusat zakat. Cara ini akan lebih mempercepatkan lagi lambakan D & D dalam masyarakat.

Cadangan kedua, kerajaan yang memperkenalkan D & D ini hendaklah memastikan bekalan sentiasa cukup. Banyakkan premis jualan D & D ke setiap daerah. Jangan biarkan bekalan putus kerana ini akan melambatkan perkembangan fasa 1 yang amat penting ini.

Bersama-samalah kita menyimpan "Dinar dan Dirham Untuk Keadilan Ekonomi"