Khamis, 25 November 2010

KERTAS KERJA PDIG

PENGENALAN
            Setiap daripada kita mempunyai tekanan kerja. Suasana tempat kerja yang selesa dan selamat meningkatkan kecekapan mutu kerja dan keseronokan bekerja. Suasana tempat kerja yang kurang memuaskan boleh mendatangkan tekanan mental.
            Sejak akhir-akhir ini, profesion perguruan menjadi antara kerjaya yang menyumbang kepada tekanan kerja. Ini kerana tugas guru sudah bertambah kerana dibebani dengan pelbagai kerja perkeranian. Selain itu, guru-guru juga berhadapan dengan sasaran-sasaran peperiksaan yang mesti dicapai oleh para pelajarnya. Ditambah pula dengan karenah pentadbiran yang seakan-akan cara tentera dan ibu bapa yang membawa peguam masing-masing menyebabkan ada di kalangan guru yang bertukar kepada kerjaya lain. Tugas utama guru adalah mengajar. Walau bagaimanapun, fokus ini semakin teralih gara-gara tekanan yang wujud daripada pelbagai punca dan sebab.
            Tekanan kerja yang sedikit adalah perlu untuk meningkatkan daya produktiviti. Jika tekanan di tempat kerja berlebihan, ia boleh memberi kesan negatif. Masalah peribadi dan keluarga akan merumitkan lagi kesihatan mental pekerja.
            Tekanan merupakan satu pengalaman yang lumrah dalam kehidupan manusia. Setiap manusia tidak dapat lari daripada tekanan yang boleh berpunca dariapada peristiwa-peristiwa dalam kehidupan baik dalam bentuk fizikal, sosial dan psikologikal. Kesan tekanan ke atas seseorang individu banyak bergantung kepada ciri-ciri dan sikap individu itu bagaimana untuk mengatasinya.

Takrif dan makna tekanan

            Tekanan boleh didefnasikan satu keadaan atau situasi dalaman atau persekitaran yang memerlukan penyesuaian ke atas organisasi. Sebarang bentuk tekanan cenderung untuk membangkitkan usaha berlebihan dan penerimaan aktiviti yang baru. ( goldenson, 1970 ). Appley dan Trumbull mendefinasikan tekanan sebagai suatu yang mempengaruhi gerak balas fisiologi dan tingkah laku terhadap ransangan yang tidak disukai. Setiap organisasi tidak boleh lari daripada tekanan kerja. Tekanan kerja terbahagi kepada dua iaitu tekanan positif dan tekanan negatif. Kesan tekanan kerja akan bertindak sebagai satu dorongan untuk meransang pekerja supaya berprestasi baik ( Jaafar Muhamad, 1997 ).
            Sesuatu tekanan itu sekiranya dianggap positif maka ia akan menjadi positif kerana tekanan adalah sesuatu perkara yang tidak boleh dihalang atau dielakkan. Hanya kematian sahaja membolehkan seseorang bebas daripada tekanan ( Sayle ( 1974).
            Menurut Anthony Yeo (1993), Satu bentuk tekanan yang boleh membawa kesan kepada kehidupan seseorang secara positif atau negatif. Tekanan dianggap positif sekiranya dilihat sebagai cabaran yang boleh meningkatkan potensi diri dan produktiviti.
            Setiap orang harus menghadapi tekanan perubahan dengan berlapang dada. Anggaplah sesuatu tugas yang diberi itu bukan satu tekanan, sebaliknya sebagai satu tanggungjawab dan amanah kepada diri yang memang hebat. Perasaan diri yang hebat akan membolehkan melaksanakan tugas dengan yakin dan seterusnya meminta keredhaan daripada Allah Taala.

GEJALA DAN PUNCA-PUNCA TEKANAN
           
            Dalam menjalankan tugas sebagai seorang guru, saya tidak dapat mengelak daripada menerima tekanan kerja. Tekanan kerja yang berterusan memberi kesan yang tidak baik kepada karier saya jika tidak diuruskan dengan baik. Tekanan boleh timbul kepada setiap peringkat usia. Pelbagai keadaan boleh menimbulkan tekanan kepada individu dan antara punca stres yang biasa dialami oleh pelajar adalah seperti suasana keluarga dan alam persekolahan, masalah pergaulan, kekurangan pada diri serta tekanan menghadapi peperiksaan. Antara gejala yang dapat dilihat apabila seseorang itu mengalami tekanan adalah sebagaimana berikut.

1. Reaksi tingkah laku akibat daripada stres
-          menangis dan tidak dapat bercakap
-          cuba mengelak diri
-          mengundur, ponteng atau lambat menangani interaksi yang menyusahkan
-          gelisah, aktiviti berlebihan atau tidak dapat duduk diam
-          menyendiri (tidak mahu bergerak)
-          merokok, minum minuman keras atau mengambil ubat (dadah)
-          tidak sabar / bertindak ganas
-          cubaan bunuh diri
-          gangguan tidur
-          tiada selera makan
-          lambat buat kerja
-          tidak bertenaga

2. panik / Reaksi bersifat emosi
-          risau
-          kemurungan
-          rasa bersalah
-          marah, kecewa atau perasaan negatif
-          takut
-          hilang keyakinan
-          rasa dipinggirkan oleh orang lain
-          perlukan teman
-          ingin bersendirian
-          rasa bosan
-          rasa tidak berguna
-          sedih

3. Reaksi fizikal
-          tangan dan kaki kesejukan
-          kurang tenaga / lesu
-          tekanan darah tinggi
-          pengsan
-          sakit perut / sakit kerongkong
-          denyutan nadi atau jantung tidak seragam
-          nafas tidak seragam
-          berpeluh
-          cirit-birit
-          pening kepala
-          perubahan tingkah laku
-          tegang otot, sakit dan kejang otot
-          rasa terlalu penat (hilang tenaga)
-          allergi
-          sakit dada
-          tidak percaya atau menolak
-          binggung
-          hilang ingatan
-          kurang tumpuan
-          fikiran bercelaru
-          rasa penat berfikir
-          terlalu memikirkan kejadian yang telah berlaku
-          syak wasangka dan rasa dianiayai
-          susah buat keputusan

4. Reaksi spritual
-          menyalahkan tuhan kerana berlaku sesuatu kejadian
-          marahkan tuhan
-          putus asa
-          persoalkan kepentingan untuk hidup atau berasa sangsi tentang kepercayaan terhadap agama

            Antara tanda-tanda tekanan yang saya alami ialah sering sakit kepala, selalu khayal, sering menyendiri dan hilang minat untuk melakukan sesuatu kerja. Keadaan ini perlu segera dibendung agar tidak menjadi semakin parah lagi. Untuk itu, saya perlu mengetahui punca-punca terjadinya keadaan ini kepada diri saya. Antaranya ialah:

  1. kerja banyak
      Sebagai guru dalam latihan, tanggu jawab yang mesti dilaksanakan bukan sahaja mengajar di sekolah tetapi juga pada masa yang sama menjadi pelajar di institut perguruan. Saya perlu menyiapkan tugasan-tugasan pensyarah, mengajar murid-murid sekolah, melaksanakan arahan pentadbir sekolah dan arahan pejabat pendidikan daerah serta menjadi ketua keluarga semasa di rumah.

  1. kerja bertangguh
      Oleh kerana kerja yang terlalu banyak menyebabkan saya membuat alasan untuk menangguhkan kerja. Semakin lama, semakin menimbun kerja yang terpaksa dilaksanakan. Natijahnya, penghasilan sesuatu kerja sudah tidak berkualiti dan tidak memuaskan.

  1. banyak perkara perlu perhatian
      Pada satu-satu masa, pelbagai kerja yang harus diselesaikan. Antaranya bahan bantu belajar, rancangan mengajar harian, laporan kepada guru besar, tugasan pensyarah yang perlu dihantar dan sebagainya. Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang menjadi buntu dan hilang arah panduan.

  1. Keluarga
      Sesebuah keluarga boleh menjadi pencetus kepada tekanan di tempat kerja. Ini kerana sesebuah keluarga adalah berlainan dari segi  cara didikan yang diterima, kepimpinan, saiz serta gaya hidup yang menjadi amalan dalam keluarga tersebut. Faktor latar belakang keluarga, tanggung jawab, taraf sosio ekonomi dan seumpamanya boleh membentuk sikap dan jenis manusia yang pelbagai.

  1. tidak cukup tidur
  2. tidak cukup rehat
  3. salah amalan pemakanan
  4. komunikasi
      Perhubungan sesama rakan sekerja yang kurang initm adalah berpunca daripada proses komunikasi yang tidak berkesan. Salah faham akan terbentuk dan adakalanya boleh menyebabkan fitnah dan umpat-mengumpat sesama rakan sekerja.

  1. pemikiran tak rasional
  2. silang budaya
  3. pencapaian rendah
  4. takut gagal
  5. keperluan hidup tinggi
 
Faktor-faktor yang mempengaruhi tekanan
Sosial
Pekerjaan
Persekitaran
Perkahwinan
Perubahan dalam tanggung jawab kerja
Kebisingan
Perceraian
Kurang latihan
Kesesakan
Kematian ahli keluarga
Hubungan lemah dengan bos dan rakan sekerja
Suhu terlalu panas atau sejuk
Pinjaman yang terlalu besar
Tindakan segera yang tidak munasabah
Pencahayaan
Masalah anak, jiran dan mertua
Terbeban maklumat
Pencemaran
Kesalahan undang-undang
Kurang meklumat
Cuaca / iklim
Perubahan rakan
Kurang ganjaran / gaji

Kurang sokongan sosial
Diskriminasi

* sumber : Kimberly Robinson (1995) Stres Management Training

KESAN-KESAN TEKANAN
           
            Akibat daripada tekanan yang dialami, seseorang akan menunjukkan kesan  perubahan yang ketara dari segi penampilan dirinya. Kesan-kesan ini dapat dilihat daripada prestasi kerja, hubungan sesama rakan sejawat dan prestasi diri.

Prestasi Kerja
  1. Penurunan produktiviti
  2. Pengurusan tentang cuti bertambah
  3. Kes tatatertib dan disiplin bertambah

Hubungan sesama rakan sejawat
  1. Kurang bercakap serta banyak menyendiri daripada orang lain.
  2. Selalu menyalahkan orang lain atas sesuatu keadaan.
  3. Hilang kemahiran berkomunikasi
  4. Sentiasa mencari alasan dan helah apabila berhadapan dengan majikan.

Prestasi diri
  1. Terlalu letih sehingga tidak bermaya untuk melayan pelajar-pelajar, rakan sekerja dan ahli keluarga.
  2. Emosi tidak stabil, menjadi murung, cepat sedih, mudah terasa,dan memandang negatif terhadap sesuatu perkara atau perkataan yang diucapkan oleh orang lain. Keadaan ini menjadi lebih teruk lagi apabila terjadinya kes bunuh diri. Akhbar Harian Metro melaporkan pada ogos 2008 seorang seorang penuntut pintar sebuah institusi pengajian tinggi awam membunuh diri dengan terjun ke laut  akibat bebanan kerja kursus yang banyak selain terpaksa membahagikan masa dengan aktiviti berpersatuan. Ini merupakan kesan yang paling serius semasa menghadapi tekanan.
  3. Hilang tumpuan semasa bekerja.

CARA MENANGANI TEKANAN KERJA

            Setiap orang berbeza tahap tekanan yang dihadapi. Begitu juga kaedah mengatasinya juga berlainan mengikut cara masing-masing. Di sini, saya menyenaraikan lapan cara untuk mengatasi tekanan yang dihadapi.
1. Bersikap Realistik Terhadap Sesuatu Pekerjaan
  • Akui kekuatan dan kelemahan dalam diri anda
  • Bersikap positif semasa melakukan anda
  • Lakukan yang terbaik dalam pekerjaan anda
  • Merasa seronok bekerja
2. Merancang Kerja
  • Kendali masa anda dengan bijak iaitu dengan cara menentukan sasaran mengikut keutamaan, menyimpan senarai ‘perlu buat’, merancang kerja sebelum melaksanakannya, melakukan kerja pada jangka masa produktif, mengagihkan tugas kepada rakan sejawatan serta menjadualkan masa kerja.
  • Beri keutamaan pada kerja yang penting
  • Jangan bertangguh
  • Elakkan membawa sebarang tugasan balik ke rumah
  • Mengagihkan kerja dengan baik
3. Tingkatkan Kemahiran Penyelesaian Masalah
  • Lihat masalah dengan rasional dan rancang penyelesaian secara sistematik
  • Senaraikan masalah-masalah mengikut keutamaan serta langkah-langkah menanganinya
  • Nilaikan kesesuaian pada setiap langkah penyelesaian
  • Ambil tindakan secara wajar
4. Mempunyai Sikap Yang Betul Terhadap Perubahan Dalam Kerja
  • Sentiasa bersikap terbuka, bertolak ansur dan realistik terhadap apa jua perubahan yang berlaku
  • Rancang perubahan secara teratur
5. Amalkan Komunikasi Berkesan Di Tempat Kerja
  • Amalkan sifat tegas (assertive) bukan garang (aggressive)
  • Luahkan pendapat anda secara sopan, tegas dan jelas
  • Hormati pandangan rakan sekerja anda
  • membina komunikasi intrapersonal dengan sentiasa membuat refleksi, memberi penghargaan kendiri, mengamalkan inner speech dan mengelak pemikiran negative.
6. Tingkatkan Sokongan Sosial Di Tempat Kerja
  • Wujudkan ikatan persahabatan sesama rakan sekerja
  • Senaraikan individu dan organisasi yang dapat membantu anda dan rakan sekeja di dalam menangani sebarang masalah
  • Berkongsi masalah dengan mereka yang sedia mendengar
  • Luangkan masa anda untuk membantu rakan yang bermasalah
7. Amalkan cara Hidup Sihat
  • Luangkan masa untuk beribadah
  • Dapatkan tidur yang mencukupi
  • Bersenam selalu
  • Adakan aktiviti/hobi yang menyeronokkan
  • Jauhi diri dari arak, rokok dan dadah
  • Amalkan nilai-nilai murni dan berpegang teguh pada ajaran agama
8. Meluahkan perasaan
  • Mereka yang menghadapi tekanan adalah digalakkan meluahkan segala perkara yang terbuku dihati. Dengan luahan perasaan ini akan dapat meredakan hati dan perasaan yang terpendam sekian lama. Luahan ketidakpuashatian pada orang lain boleh dilakukan dengan menulis atau menconteng diatas sekeping kertas, notice board atau meramas bola getah. Tindakan demikian akan dapat meredakan hati yang gundah gulana atau marah. Ada juga sesetengah mereka meluahkan perasaan dengan menangis. Menangis dengan sepuas-puas hati dapat meredakan fikiran yang kusut. Elakkan menceritakan masalah peribadi anda kepada orang ketiga sekiranya anda berada dalam keadaan tertekan. Sekiranya anda merasakan ingin meluahkan segala isi hati anda yang celaru, pastikan orang yang mendengar masalah anda merupakan orang yang boleh dipercayai dan tidak kianati diri anda. Sesetengah orang suka melakukan aktiviti khidmat masyarakat seperti gotong-royong untuk menghilangkan tekanan. Ada yang mengambil kesempatan melaung sekuat hati dipantai atau tempat terbuka. Ini dapat meredakan kekusutan yang mengekang jiwa.
            Sebagai seorang yang berpendidikan agama, saya lebih cenderung untuk mencari kaedah menangani tekanan cara Islam. Untuk mengatasi situasi tertekan, hati haruslah tenang dan kembali mengingati Allah s.w.t. Apa jua tindakan dilakukan mestilah berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Beberapa panduan boleh kita dijadikan amalan yang bertujuan mengurangkan tekanan kerja:
1. Berwuduk
            Biasakan diri anda dalam keadaan berwuduk. Amalan berwuduk memberikan ketenangan Jiwa dan segala kerja yang susah akan menjadi senang diselesaikan. Selain itu, berwuduk dapat menghindarkan diri dari gangguan syaitan yang suka menghasut apabila kita dalam berkeadaan letih dan marah.
2. Banyakkan Membaca Al-Quran
            Ganjaran yang besar akan diberikan oleh Allah s.w.t. jika umatnya membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai untuk kita membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Biasakan diri dan jadikan Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.
3. Banyakkan Solat Sunat
            Manusia merupakan makhluk yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. maka itu kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Amalan sembahyang sunat seperti solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih dan sebagainya; memberikan ketenangan dan kekuatan dalam diri anda.
4. Berdoa kepada Allah s.w.t.
            Mengingati Allah s.w.t. senantiasa ketika dalam suka dan duka. Memohon petunjuk dan keampunan agar hari-hari yang dilalui menjadi mudah. Doa yang mustajab beserta keikhlasan dan hati yang suci memohon bersungguh-sungguh akan dimakbulkan Allah s.w.t. Maka kita digalakkan berusaha supaya mencapai sesuatu hajat di samping berdoa hanya kepada Allah s.w.t. yang Esa.
5. Beriadah
            Aktiviti beriadah dapat mengurangkan tekanan. Badan yang sihat dan otak yang cerdas mampu membentuk peribadi yang berhemah. Segala tekanan di tempat kerja dapat dikurangkan dengan melakukan aktivi-aktivit riadah. Aktiviti riadah juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan jika kita mengamalkan aktiviti beriadah bersama keluarga.

KESIMPULAN        
            Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja dan tekanan perasaan bukanlah satu beban yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan perasaan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan satu persatu.
            

0 ulasan:

Catat Ulasan